Sunday, April 29, 2012

Mengenali kanak-kanak (2-3 tahun)

Salam Dr dan teman seperjuangan semua. Sedar tak sedar sudah masuk minggu ke-10 kita disini. Jadi, tinggal hanya 4 minggu untuk meneruskan perjuangan semester ini. Selepas ini, kita semua akan bertebaran serata negeri menyambung perjuangan mendidik anak bangsa sebelum kita benar-benar merasai alam pekerjaan. Maksud saya kita semua akan bertebaran untuk menjalankan praktikum di sekolah-sekolah, tadika-tadika dan taska.

Disini saya ingin kongsikan sedikit ilmu untuk mengenali kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan 2-3 tahun. Saya rasa info-info ini berguna untuk para sahabat semua terutama bagi mereka yang akan menjalankan praktikum di taska.

A. ERKEMBANGAN FIZIKAL

1. Sangat aktif, suka berlari dan melompat. Sekiranya berkemungkinan guru perlu menyusun perabot dan meja kanak-kanak agar ada ruang yang membolehkan mereka bergerak tanpa rasa bimbang berlaku kemalangan dan kecederaan. Membawa kanak-kanak bermain di luar adalah satu langkah yang bijak. Di situ kanak-kanak dapat melakukan berbagai-bagai aktiviti fizikal di bawah pengawasan guru

2. Kanak-kanak pada tahap ini belum dapat mengawal pergerakan otot-otot sehingga mereka tidak dapat duduk diam dalam jangkamasa yang terlalu lama. Jadi sia-sia jika kita meminta mereka duduk diam. Apa yang lebih baik ialah membiarkan mereka meneroka persekitaran sambil mengawasi mereka.

B. PERKEMBANGAN MENTAL

1. Daya konsentrasi sangat pendek dan mudah merasa jemu. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan teknik dan bahan bantu mengajar serta memperbanyakkan aktivti hands-on di dalam kelas.

2. Rasa ingin tahu kanak-kanak pada tahap ini sangat tinggi. Guru perlu mengambil kira jenis alat permainan yang diberikan. Permainan yang sesuai ialah permainan yang merangsang kreativiti kanak-kanak selain menarik dan tidak mudah rosak. Ajar kanak-kanak menggunakan pancaindera (mendengar, melihat, menyentuh, mencium dan merasa).

3. Perbendaharaan kata mereka masih terbatas pada tahap ini. Gunakanlah kata-kata yang sederhana dan konkrit sama ada ketika bercerita ataupun bercakap dengan mereka.

4. Pemikiran kanak-kanak pada tahap ini sebenarnya lebih cepat berkembang berbanding dengan kemampuan untuk bertutur. Sebab itulah kanak-kanak sering didapati tergagap-gagap ketika bercakap. Guru harus peka terhadap situasi ini dengan menunjukkan perhatian dan kesabaran. Bersedia untuk menjadi pendengar tanpa tergesa-gesa ataupun memaksa mereka bercakap dengan lebih cepat.

C. PERKEMBANGAN EMOSI

1. Menyukai suasana yang sudah dikenali dan takut pada suasana baru atau orang asing. Sekiranya kanak-kanak sentiasa bergaul dengan orang sekeliling, perasaan takut akan hilang

D. PERKEMBANGAN SOSIAL

1. Egosentrik. Kanak-kanak pada tahap ini memperlakukan kanak-kanak lain yang sebaya dengannya sebagai suatu benda dan bukan sebagai individu. Ia belum boleh bermain dengan kanak-kanak lain. Oleh itu, ketika bermain dengan kanak-kanak lain, perlu ada pengawasan dari guru supaya tidak terjadi pergaduhan sesama mereka.

E. PERKEMBANGAN ROHANI

1. Meniru tingkah laku orang dewasa. Sikap dan tingkah laku ibubapa atau guru harus membuat mereka memahami tentang ajaran Islam. Ini bermakna setiap perbuatan orang dewasa harus dikaitkan dengan ajaran Islam seperti berdoa sebelum makan, solat, baca Bismillah sebelum melakukan sesuatu dan sebagainya.

2. Anak juga berkembang dari segi rohani. Oleh itu, guru perlu menolong mereka untuk menyedari tentang kewujudan Allah dalam setiap aspek kehidupan. Dengan demikian mereka akan belajar bahawa sekalipun Allah tidak dapat dilihat tetapi Allah tetap ada. Ini bermakna, dalam setiap aktiviti harian yang dilakukan, guru harus mengaitkan dengan kewujudan Allah.

AKTIVITI-AKTIVITI YANG SESUAI PADA TAHAP INI
1. Permainan blok
2. Puzzle
3. Melukis
4. Menampal
5. Mewarna

Sekian...Semoga bertemu lagi...=)

No comments:

Post a Comment