Sunday, March 25, 2012

RAWATAN SEGERA ATASI HIPERAKTIF..

DUDUK diam! Jangan nakal-nakal!'' Mungkin itu adalah ayat biasa yang diungkapkan oleh seorang ibu kepada anak-anak yang sedang 'mengganas'.

Bayangkan mainan yang bersepah di serata ceruk rumah serta tabiat suka melompat dari meja atau sofa selalunya membuatkan si ibu mudah 'naik hantu'.

Jika itu yang sering dilakukan oleh anak-anak, tidak perlu khuatir kerana ia adalah sebahagian daripada proses normal bagi seorang kanak-kanak aktif dan cergas yang sedang membesar.

Jika si kecil gagal memberi tumpuan serta tidak fokus apatah lagi jika mereka juga hiperaktif, cuai, gagal menguruskan apa sahaja, mudah terganggu serta tidak boleh bermain atau melakukan sesuatu dengan senyap, ibu bapa perlu beri perhatian.

Malah bukan sekadar itu, dia juga sering bercakap sendirian, kurang fokus serta kurang sabar dalam menyelesaikan masalah.

Jika anak-anak mengalami simptom- simptom tersebut segeralah berjumpa doktor, kata Perunding Psikiatrik Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh

Menurut beliau, simptom itu sebenarnya dipanggil ADHD atau Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan yang merupakan satu masalah tidak normal pada bahagian otak yang membuatkan kanak-kanak bersikap terlampau aktif sejak lahir lagi.

Kanak-kanak yang mempunyai gejala ADHD, lebih mudah terganggu dengan bunyi-bunyian dan benda-benda di sekeliling mereka.

Lazimnya, mereka tidak boleh memberi tumpuan untuk tempoh jangka panjang. Ini kerana mereka mudah berasa bosan dan gelisah sekiranya berada dalam keadaan senyap atau tidak melakukan sebarang aktiviti

''Keadaan ini sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal lagi kerana mereka akan berkelakuan mengikut gerak hati sendiri,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun tegas Dr. Nor Hamidah, simptom tersebut tidak mudah didiagnosis disebabkan tidak boleh dibezakan seperti penyakit-penyakit lain.

''Jika anda meletakkan 10 budak nakal dan 10 kanak-kanak ADHD dalam satu kumpulan, anda masih tidak nampak perbezaannya. Bagi kanak-kanak nakal biasa, mereka masih boleh dikawal manakala ADHD amat susah dikendalikan sehinggakan kita menyangka mereka menghadapi masalah tingkah laku," ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, dalam permasalahan itu, tiada punca utama ditemui berkaitan sindrom tersebut walaupun faktor genetik dan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak mungkin menyumbang kepada terjadinya masalah itu.

Bagaimanapun, jika tidak diberi rawatan lebih awal, 60 peratus daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa yang bermasalah sehingga mendorong melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Terang Dr. Nor Hamidah lagi, disebabkan ADHD mempengaruhi genetik, seseorang bapa boleh mewariskan sindrom ini kepada anak lelaki mereka.

''Keadaan ini juga menjadikan kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami ADHD sebanyak tiga kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan,'' ujarnya lagi.

Satu kajian ke atas kanak-kanak Malaysia berumur di antara 5 - 15 tahun menunjukkan seramai 4.3 peratus mempunyai ciri-ciri ADHD.

Kebanyakannya dihidapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Katanya, masalah itu boleh dipanggil penyakit yang tidak nampak kerana secara realiti, mereka sihat malah kebanyakan mempunyai tahap setara individu biasa dan lebih menakjubkan sebilangan besar mempunyai kebolehan serta bakat seni luar biasa.

''Kanak-kanak ini sebenarnya tidak sakit. Mereka hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro di dalam otak menjadikan mereka sukar mengawal diri. Penyakit ini juga bukan berpunca daripada pemakanan, pengambilan gula berlebihan, alahan atau terpengaruh dengan televisyen.

Bagaimanapun katanya, ADHD perlu dirawat segera sebaik disedari kerana ia menyebabkan beberapa masalah sampingan seperti perasaan rendah diri, kurang yakin dan lemah pencapaian akademik.

''Dalam situasi ini, ibu bapa seharusnya tidak kecewa jika anak mereka didapati mengalami masalah ini, bawalah mereka bertemu pakar supaya tingkahlaku ini tidak terbawa-bawa ke alam dewasa dan mereka sebenarnya masih berpotensi menjalani hidup normal seperti individu lain," katanya.

Dalam keadaan ini, tegas Dr Nor Hamidah, ada beberapa teknik yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa ketika di rumah untuk dipraktikkan.

'' Berikan arahan satu persatu dengan jelas supaya mereka memahami arahan tersebut dan menjelaskan padanya kesan dan akibatnya.

Sekiranya mereka membuatkan sesuatu dengan baik berikan pujian supaya menaikkan rasa harga diri.

Bagaimanapun, biasakan mereka untuk melakukan kerja-kerja asas dirumah bagi membiasakan mereka.

Malah terang Dr. Nor Hamidah lagi, tidak salah jika sebagai ibu bapa wujudkan satu sistem memberi hadiah untuk menggalakkan mereka berkelakuan dengan baik.

Apabila disekolah minta bantuan guru supaya tempatkan mereka dengan kedudukan di hadapan kelas.

Sumber: Utusan Malaysia 12 Ogos 2010.

No comments:

Post a Comment